Saturday, January 30, 2010

Hujah Muslim Tak Boleh Redha Orang kafir Guna Nama Allah



"Katakan Muhammad bahawa ALLAH itu Esa, Ia tempat tumpuan segalaNya (berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa). Dia tidak beranak. Dan tidak pula diperanakkan. Dan ALLAH itu tidak sekufu/setara/serupa dengan segala sesuatu" (Al Ikhlas: 1-4).


Berasaskan ayat ini, golongan bukan Islam, terutamanya kristian tidak berhak mempergunakan kalimah Allah SWT sama sekali. Baik di dalam pertuturan, perbuatan mahupun terbitan mereka. Ini kerana kepenggunaan kalimah berkenaan tidak bertepatan dengan konsep tauhid yang sebenar yang melambangkan Allah SWT sebagai Dzat yang wajib ada dengan KeEsaanNya dalam Islam. Berbanding prinsip tiga Tuhan dalam tradisi kristian.

Jika golongan bukan Islam ingin mempergunakan kalimah Allah SWT, mereka perlu mengiktiraf kandungan kitab Suci al-Qur'an sebagai satu-satunya petunjuk kepada jalan ketaqwaan (Al Baqarah:2). Buangkan kepercayaan mereka kepada kitab Injil yang telah diubah atas nama pendustaan kepada Nabi Isa AS. Solanya, berbaloikah kristian katholik mengorbankan kepercayaan mereka berbanding tuntutan penggunaan kalimah Allah ini?

Bukan itu sahaja, golongan kristian juga perlu beriman dengan Kenabian Nabi kita Muhammad SAW sebagai Nabi Yang Terakhir. Dialah Allah yang mengutuskan Muhammad SAW dengan petunjuk dan agama yang benar yang menjuarai semua agama dan kepercayaan yang ada. Dan cukuplah Allah SWT yang menjadi saksi atas semua itu (Al Fath: 28). Jika kristian 'pelahap' sangat ingin menggunakan nama Allah SWT, eloklah mereka memeluk Islam dengan melafazkan syahadah. Mereka boleh menggunakan kalimah Allah SWT setiap masa dan ketika. Saya kira, ini boleh menyelesaikan kemelut kepenggunaan ini. Soalnya, sanggupkah mereka?Adapun hujjah sesetengah cendiakawan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah menerusi surah Az Zukhruf : 86-87 dan Al Ankabut: 63 adalah TIDAK BENAR sama sekali. Mereka tidak memahami kandungan ayat berkenaan dalam kerangka ketuhanan yang benar.

Pertama : Ayat - ayat di atas adalah uslub mujadalah. Iaitu gaya bahasa perbantahan yang berlaku antara Nabi SAW dengan golongan musyrikin tentang akidah tauhid. Buktinya Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik.(al-Ankabut 46) Jadi, uslub mujadalah tak sah dipetik sebagai hujjah kerana lafaz ini dirakam oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita bahawa golongan kafir hanya mahu berbantah-bantah, berdolak-dalik dengan ucapan. Tetapi hakikatnya, pertuturan mereka dipenuhi dengan kalimah dusta terhadap Baginda SAW. Maka benarlah kesimpulan feqhiyyah : Hakikat Lafaz yang digunakan menunjukkan maksudnya bukan menunjukkan sendi frasanya.

Kedua : Golongan musyrikin yang tidak mahu beriman dengan syariat Nabi SAW dicabar dengan hujjah logik : Siapakah yang mencipta langit bumi? Mereka mengatakan : Allah!. kalimah Allah yang digunakan disini hanya dari sudut bahasa sahaja. Ia bukan bermaksud mengiktiraf Allah Yang Esa yang diserukan oleh Nabi SAW. Atau dengan kata lain, jawapan Allah yang diberikan musyrikin disini hanya berdasarkan apa yang ada dalam zihn (kotak pemikiran) mereka sahaja. Iaitu berdasarkan kepercayaan yang diwarisi datuk nenek moyang mereka yang menyembah berhala. Bukannya satu pengiktirafan konsep ketuhanan yang sebenar yang dibawa Nabi SAW. Lantaran itu, mereka terus menyembah berhala dan menolak konsep ketuhanan (akidah tauhid) yang di bawa Nabi SAW dan meneruskan kekufuran. Ternyata, pengucapan 'Allah' dalam ayat ini adalah dibuat dengan nada pembohongan semata-mata. Allah SWT sendiri menyifatkan pembohongan mereka (al-Ankabut ayat 61) dengan lafaz : فأنى يؤفكون

Lafaz ini dihurai oleh Imam al-Qurtubi dengan katanya : Iaitu mengapa mereka kufur untuk mentauhidkanKu dan berpaling dari mengabdikan diri kepadaKu." Penjelasan ini membuktikan bahawa golongan musyrikin sebenarnya tidak beriman dengan Allah SWT. Sebaliknya hanya mengungkapkan kalimah Allah untuk melepaskan diri dari kebenaran berhujjah.

Ketiga : Kita Umat Islam tidak boleh sesekali mengiktiraf golongan bukan Islam sebagai ahli tauhid rububiyyah disebabkan mereka mengucapkan kalimah Allah. Ini kerana ucapan kalimah Allah pada mereka bukan merujuk kepada Tuhan Yang Esa dengan segala sifat kesempurnaan. Sebaliknya mereka menggambarkan Allah dengan kepelbagaian prinsip KeTuhanan. Buktinya, Golongan yahudi dan kristian saling mempercayai bahawa Allah itu mempunyai anak. (al-taubah 30). Golongan yang lain pula terus mengambil berhala sebagai sembahan. Sedangkan Allah SWT membantah kenyataan mereka dalam ayat yang sama : "Demikianlah perkataan mereka Dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Melalui ayat ini terbukti kepada kita bahawa konsep syirik yahudi dan kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Justeru mereka tidak berhak menggunakan kalimah Allah SWT dalam keadaan mensyirikkannya.

Keempat : Allah menjelaskan bahawa golongan yang mempersekutukan Allah sebenarnya berada diterminal kenistaan dan kekufuran. Buktinya Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) kepadaNya." (al-Zumar ayat 3)

Jika Allah SWT menjenamakan mereka dengan golongan yang berdusta dan sentiasa kufur kepadaNya, mengapa kita ingin memandai-mandai untuk mendakwa mereka bertauhid dan ingin mengizinkan mereka mempergunakan kalimah Allah SWT. Apakah kita ingin memandai-mandai melebihi ketentuanNya.

Kelima : Allah SWT sendiri menjelaskan pendirian ketuhanan musyrikin di dalam surah Yasiin ayat 78 : "Serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?"Katakanlah: "Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Allah Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)"

Ayat ini menjelaskan bahawa penanya soalan di atas tidak mengetahui hakikat ketuhanan dan enggan mempercayai adanya kehidupan selepas kematian. Sebaliknya mereka mengejek Nabi SAW. Lalu Allah SWT menjawab ejekan mereka pada ayat 79 surah yang sama. Adakah patut bagi orang yang berakal mendakwa bahawa penanya di atas beriman dengan tauhid rububiyyah? Ternyata ia tidak sesekali.

Keenam : Di dalam surah al-Jatsiyah ayat 24 Allah berfirman : "Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Ayat ini jelas membuktikan bahawa golongan yang tidak menerima seruan Nabi SAW adalah golongan bukan Islam. Mereka menyangka bahawa tiada suatu kuasa pun yang boleh membinasakan mereka kecuali peredaran masa. Ertinya mereka tidak yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dan Allah menempelak kenyataan mereka bahawa kepercayaan itu adalah sangkaan yang tidak berdasarkan fakta yang benar. Adakah orang yang tidak meyakini Kebesaran dan Keagungan Allah dikira bertauhid rububiyyah? dan kita pula ingin membenarkan mereka memperkotak-katikan nama Allah yang maha suci? Nau'zubillah.

Ketujuh : Jika golongan bukan Islam mengiktiraf tauhid rububiyyah, mengapa Allah SWT mencabar mereka dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 -23 bermaksud : "(Mengapa mereka Yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta Bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit Bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang Bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi Bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada Yang menolaknya), kerana Sesungguhnya Engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah Engkau seorang Yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam Yang Engkau sampaikan itu). Akan tetapi sesiapa Yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar. Maka Allah akan menyeksanya Dengan azab seksa Yang sebesar-besarnya."

Jika benar golongan bukan Islam mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah mengapa Allah masih mencabar mereka supaya menekspresi akal.? Mengapa pula mereka diistilahkan Allah dengan 'berpaling dari kebenaran ' serta 'kufur lagi ingkar'. Mengapa pula mereka dijanjikan Allah dengan siksaan yang besar. Ayat ini menunjukkan bahawa mereka sepincingpun tidak beriman ayat-ayat Allah SWT.

Sebenarnya masih banyak ayat al-Qur'an dan al-hadis yang membuktikan kepada kita bahawa golongan bukan Islam sememangnya tidak memahami ketuhanan Allah yang sebenar. Malah golongan ini mempunyai doktrin ketuhanan tersendiri berdasarkan tradisi dan kepercayaan mereka. Jika mereka terus diikat dengan kepercayaan tradisi dan mempersekutukan Allah, bagaimana bisa mungin kita katakan mereka itu bertauhid? Dan bagaimana pula kita ingin membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam terbitan atau pengamalan mereka.?

Kesimpulannya, setiap nas perlu ditafsirkan mengikut metodologi yang jelas. Iaitu mengikut urutan ayat sebelum dan selepasnya, perkaitan dengan ayat yang lain samada dalam satu surah yang sama atau surah yang berbeza. Ataupun berdasarkan kepada Sunnah yang sahih lagi mutawattir dalam membicarakan isu akidah. Hal ini jelas sebagaimana yang diperakukan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah.Hasil penjelasan ini, dapatlah diketahui bahawa ayat 86-87 Az Zukhruf dan ayat 63 Al Ankabut sesekali tidak menyatakan bahawa ALLAH membenarkan penggunaan nama ALLAH bagi maksud selain daripada Tuhan Yang Esa. Malahan tiada satu nas pun yang menunjukkan Islam mengiktiraf kesyirikkan dan kekufuran itu tergabung dengan pakej tauhid rububiyyah. Bukankah tauhid hanya satu. Tidak berbilang-bilang.

Justeru, mengapa dengan mudah kita ingin membenarkan golongan bukan Islam menggunakan kalimah suci Allah dalam kekufuran. Jika kita menggunakan ayat di atas bagi menjustifikasikan keizinan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam kita sebenarnya kita menggunakan dalil bukan pada tempatnya.Bahkan tindakan ini juga lebih bersifat mempromosi perkongsian ketuhanan Allah. Ini adalah prinsip yang bathil. Satu malaysia tidak boleh menghalalkan prinsip satu Tuhan. Tidak sesekali.


Apa yang jelas, rancangan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam konteks triniti tidak patut dibenarkan sama sekali. Ia menodai prinsip ketuhanan yang Esa yang menjadi teras akidah Islam. Ia juga berupaya membangkitkan sensitiviti dan amarah bangsa melayu muslim. Hasilnya kemana? Fikirkanlah.


Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya Raja-raja Melayu agar mengembalikan diri kepada konsep ketuhanan Tauhid yang sebenar. Kebenaran Tauhid memberi momentum kepada kita untuk sentiasa memacu hidup berdampingan dengan Allah SWT. Sekaligus meraih pertolonganNya. Berhati-hatilah dengan dakyah sesetengah pihak yang tidak segan silu menggunakan nama YB, Dato, Tok Guru, Prof dan Dr membenarkan nama Allah dipergunakan oleh bukan Islam atas alasan yang batil. Apakah mereka telah dijangkiti prinsip liberalisme agama. Atau hati mereka sedang diselimuti kejahilan tauhid yang halus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam memahami akidah Tanzih dan mempertahankan kesuciannya.

No comments:

Post a Comment