Friday, July 18, 2008

PENYATUAN MELAYU REALITI DAN HARAPAN

Sebenarnya Perasaan ingin membicarakan tentang penyatuan Melayu timbul semula apabila kedengaran suara-suara sumbang bercampur baur dengan kejahilan terhadap peri pentingnya Melayu bersatu.
Realiti tidak dapat menafikan pepatah Melayu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Namun begitu, mengapakah dikaitkan penyatuan dan perpaduan Melayu dengan kekuatan Islam ? Apakah hubungkait kekuatan Melayu dengan kekuatan Islam ? Semenjak bila Melayu menunjangi kekuatan Islam ? Perlukah Islam menunggu kepada kekuatan Melayu terlebih dahulu dari berbagai aspek sebelum Islam menjadi kuat ? Persoalan-persoalan tersebut di atas adalah persoalan terhadap pernyataan berikut: “Sekiranya Melayu tidak bersatu dan menjadi lemah akan menyebabkan agama Islam turut lemah”. Pernyataan yang penuh dengan kejahilan dan penghinaan kepada kesucian agama Islam.

PENYATUAN MELAYU DAN IMPIAN

Melihat bangsa Melayu bersatu di bawah satu fikrah adalah merupakan impian dan harapan semua pihak terutamanya di kalangan pucuk pimpinan mana-mana parti yang berteraskan semangat nasionalisme demi meneruskan kelangsungan politik mereka.
Realitinya penyatuan keseluruhan bangsa Melayu secara total hanyalah merupakan impian yang tidak akan kesampaian selamanya sekiranya asas penyatuan tersebut tidak dilandaskan kepada agama Islam yang suci murni. Tanpa perlu merujuk kepada sejarah, cukup hanya dengan sekadar meneliti kepada hubungan sosial yang berlaku dalam masyarakat Melayu jelas menunjukkan wujudnya perpecahan di kalangan Melayu samada perpecahan tersebut berlaku antara anggota keluarga, adik-beradik, sahabat, ahli masyarakat dan seterusnya di kalangan pemimpin negara.
Hakikatnya setiap manusia mempunyai persepsi dan tanggapan yang berbeda-beda terhadap sesetengah perkara dengan perkara yang lain dan kelazimanya atau kebiasaanya setiap dari mereka akan mendahulukan kepentingan dan pandangan mereka sendiri dari yang lain. Atas dasar perbedaan ini, mampukah manusia khususnya bangsa Melayu bersatu ? Selain itu, dengan sikap ego, inginkan harta kekayaan, inginkan kuasa dan sebagainya, mampukah bangsa Melayu bersatu ? Pastinya ia merupakan impian yang tidak akan kesampaian untuk selamanya.
Berbalik semula kepada pernyataan ““Sekiranya Melayu tidak bersatu dan menjadi lemah akan menyebabkan agama Islam turut lemah”. Sepintas lalu pernyataan tersebut seolah-olah benar sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Semenjak bilakah agama Islam yang suci bergantung kepada kekuatan Melayu ? Bangsa Melayukah yang menyebarkan dan mengembangkan Islam pada zaman awal kemunculanya ? Adakah Islam akan lemah tanpa Melayu ? Siapa yang memberi kekuatan kepada siapa ? Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana kaum Quraisy Mekah, Arab Badwi dan lain-lain kaum suku Arab yang mendiami semenanjung tanah Arab telah bertukar dari bangsa yang mundur kepada bangsa yang bertamadun. Hakikatnya bangsa Melayu menjadi berpecah belah dan lemah kerana bangsa Melayu sendiri yang telah meninggalkan elemen kekuatan mereka yang paling penting iaitu Islam. Kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan perlu difahami dan dihayati adalah:-
ياَيُّهاَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَ يُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) ALLAH nescaya ALLAH membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu (Surah Muhammad ayat 7).
Termaktubkah perkataan M.E.L.A.Y.U dalam ayat tersebut di atas ? Atau adakah ayat tersebut mempunyai tafsiran berikut “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela M.E.L.A.Y.U. nescaya ALLAH akan membela kamu” ?. Hanya mereka yang sesat lagi menyesatkan akan membuat pentafsiran sedemikian.
Sebenarnya keikhlasan untuk melihat penyatuan Melayu menimbulkan banyak persoalan yang belum terjawab terutamanya wujud percanggahan apabila sekumpulan Melayu menyeru supaya sistem-sistem Islam dilaksanakan di negara ini agar keseluruhan umat Melayu mampu bersatu dibawah satu fikrah (memandangkan majoriti Melayu adalah bergama Islam) tetapi disanggah oleh sekumpulan Melayu lain dengan alasan kemajmukan / kepelbagaian suku bangsa di Malaysia menghalang sistem-sistem Islam dari dilaksanakan DEMI MENJAGA PERASAAN DAN PERPADUAN DENGAN BANGSA LAIN tetapi kini dengan tanpa memperdulikan “DEMI MENJAGA PERASAAN DAN PERPADUAN DENGAN BANGSA LAIN” mereka menyeru kepada perpaduan, penyatuan dan kekuatan bangsa Melayu sahaja. Benarkah kejujuran mereka terhadap agama, bangsa dan negara ? Atau mereka terdiri dari golongan munafik yang tidak mempunyai sebarang pendirian melainkan hanya untuk kepentingan diri mereka sahaja. Renungilah Firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 143:
مُذَبْذَبِيْنَ بَيْنَ ذَالِكَ لاَ اِلىَ هَؤُلاَءِ وَ لاَ اِلىَ هَؤُلاَءِ
Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman).

PENYATUAN MELAYU DAN realiti

Mengapakah wahyu (al-Quran) diturunkan ? Mengapakah Rasul diutus ? Bukankah semuanya itu adalah untuk kebaikkan manusia sejagat ? Atau adakah Pencipta semesta alam ini hanya suka-suka menurukan wahyuNya atau mengutus RasulNya ? Maha suci ALLAH dari melakukan perkara yang sia-sia.
Sesungguhnya al-Quran diturunkan adalah sebagai petunjuk dan pembimbing manusia ke jalan yang benar dan hak sebagaimana dijelaskan oleh ALLAH menerusi firmanNya dalam Surah al-Baqarah ayat 2:
ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيْهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِيْنَ
Kitab Al-Quran itu, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Justeru itu, hasrat dan harapan penyatuan semua bangsa khususnya bangsa Melayu mestilah bertitik tolak dari dua asas utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah (menjelaskan serta menerangkan kandungan al-Quran) kerana yang menurukan al-Quran adalah Pencipta (ALLAH yang mengetahui segala kelebihan dan kekurangan sesuatu perkara) alam ini dan makhluk yang bergelar manusia atau insan, dimana bangsa Melayu turut terkandung dalam kumpulan makhluk tersebut. Lantaran itu, mengapa manusia khususnya bangsa Melayu (sebahagian) tetap menolak sistem-sistem Islam dari dipraktikan dalam semua lapangan kehidupan seharian. Atau adakah mereka beranggapan (tidak yakin-kurang keimanan terhadap ALLAH) bahawa sistem –sistem ciptaan manusia lebih baik dari sistem-sistem yang ALLAH telah ciptakan untuk manusia keseluruhanya ? Realiti yang perlu difahami adalah “Siapakah yang menjadikan alam, manusia dan seluruh bentuk kewujudan di alam ini ?”. Layakkah makhluk selain ALLAH menetapkan segala bentuk perundangan di alam ini sedangkan dia juga dicipta oleh ALLAH seperti lain-lain makhluk ? Firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 50:
اَفَحُكْمَ الْجَهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَ، وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْماً لِقَوْمٍ يُوْقِنُوْنَ
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

Wahyu dan PENYATUAN BANGSA.

Firman ALLAH dalam Surah al-An’am ayat 153:
وَاَنَّ هَذاَ صِرَاطِى مُسْتَقِيْماً فَاتَّبِعُوْهُ، وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ، ذَلِكُمْ وَصَّكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut (mengikut) jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa asas perpanduan seluruh bangsa khasnya bangsa Melayu adalah dengan menurut dan mematuhi segala ajaran dan perintah yang terkandung dalam al-Quran. Justeru itu, segala bentuk fahaman atau isme (kapitalisme, nasionalisme, pragmatisme dan lain-lain) wajib ditinggalkan kerana ia adalah punca kepada perpecahan dan perbalahan seluruh bangsa khusunya bangsa Melayu ini adalah disebabkan ketidaksempurnaan serta ketidakseimbangan yang wujud dalam fahaman-fahaman / isme-isme tersebut dalam mengatasi masalah sosial, ekonomi, pendidikan, politik, alam sekitar, kekeluargaan dan sebagainya.
Tiada pilihan, melainkan hanya dengan merujuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah serta mematuhi segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya untuk membolehkan impian M.E.L.A.Y.U bersatu menjadi satu realiti yang nyata. Firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 59:
فَإِنْ تَناَزَعْتُمْ فِيْ شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ إِلىَ اللهِ وَالرَّسُوْلِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَاْليَوْمِ الأَخِرِ، ذَلِكَ خَيْرٌ وَاَحْسَنُ تَأْوِيْلاً
Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 9:
وَإِنْ طَائِفَتاَنِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ اقْتَتَلُوْا فَأَصْلِحُوْا بَيْنَهُمَا، فَإِنْ بَغَت إِحْدَهُما عَلىَ اْلاُخْرَى فَقَتِلُوْا الَّتِى تَبْغِى حَتىَّ تَفِئَ إِلىَ أَمْرِ اللهِ فَإِنْ فَآءَت فَاَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالعَدْلِ وَاَقْسِطُوْا، اِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِيْنَ
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Kesimpulan.

Segala usaha dan perancangan untuk menyatupadukan Melayu samada di bawah naungan politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya akan tetap gagal selamanya kerana dibina atas dasar yang rapuh disebabkan elemen-elemen tersebut gagal memberi keadilan dan keseimbangan terhadap semua entiti melayu yang bernaung di bawahnya. Hanya satu pilihan sahaja iaitu dengan kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya untuk membolehkan bangsa Melayu bersatu semula kerana al-Quran merupakan wahyu dari ALLAH yang Maha Mengetahui segala kekuatan dan kelemahan manusia

No comments:

Post a Comment