Thursday, September 3, 2009

Kesempurnaan Solat


Menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai kalangan kita hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita. Saf-saf solat kelihatan renggang, tidak sekata dan lebih mengecewakan apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan saf makmum sebelum memulakan solat.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-Solah Min Tamam al-Solah, no: 723, Muslim, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-SufufWa Iqamtiha... no: 973)

Daripada Anas bin Malik:
"Adalah Rasulullah SAW memalingkan wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian."
(Riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Taswiyah al-suluf..., no: 718, Muslim, Kitab: al-solah, Bab: Tasuriyah al-suluf..., no: 975)
Daripada al-Nu'man bin Bashir telah berkata: "Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya ( saf ). Padasuatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedangbaginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dart saf, lantaran baginda bersabda: " Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah - wajah kamu." (Riwayat Muslim: Ruj : Kitab al-Solah)
Anas r.a. ditanya ketika tiba di kota Madinah:
"Apa yang kamu ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?" Dia menjawab: Tidak ada perbuatan kalian tidak meluruskan saf-saf kalian." (Riwayat al-Bukhari, no: 724)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan hilangnya fadilat solat berjemaah.Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan untuk menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara langsung, tapi malangnya Allah SWT memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada ruang yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf dalam masjid atau surau.