Tuesday, January 3, 2012

Muzik Halal Untuk Apa dan Siapa ?


Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai Muzik & Hiburan. Khilaf ini disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

HARUS

Menurut pendapat Dr Yusuf Al-Qardhawi, nas-nas hadis yang mengharamkan alat muzik tertentu seperti seruling atau bertali itu kurang tepat. Ini  berdasarkan pendapat al-Ghazali dalam kitab As-Sima' min Ihya' Ulumiddin.
Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Malik ra: “Akan ada dari kalangan umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan al-maazif (alat nyanyian)”.
Status Hadis: walaupun ia adalah sahih Bukhari, tapi ia mudhtarib (bersimpang siur rawinya) dan mu'allaq (sanadnya terputus). Ahli hadits yang berpendapat demikian ialah Imam Ahmad, Abu Daud, Ibn Hazm, Abu Hatim, alHafeedz azZahabi dan alHafeedz Ibn Hajar Asqalani.
Kalimah mu'adzif dalam hadis di atas tidak disepakati sebagai yang dimaksud alat muzik.

Dari Aisyah ra: "Sesungguhnya Allah mengharamkan biduanita (hamba perempuan), menjual-belinya, menghargai dan mengajarinya."-menurut Ibn Hazm (alMuhalla) hadis dhaif.
Menurut pandangan Sheikh Yusuf Al-Qardawi berdasarkan pendapat Imam Al-Ghazali, alat muzik adalah semata-mata alat, misalnya gelas adalah alat jika digunakan untuk meminum air atau susu. Kereta adalah alat yang digunakan untuk merompak atau ke destinasi yang ingin dituju. Maka begitulah alat-alat muzik boleh digunakan untuk kejahatan atau kebaikan
HARAM
Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal. Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz yang bermaksud:
Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).
Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام
Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram. Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara marfu’.

Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup.
Dikeluarkan oleh al Dailami

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga ke akhir hadis)
Dikeluarkan oleh al Dailami

Berkata al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada kelalaian.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).
Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat bunyi-bunyian).
(Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)

Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada sebahagian ulamak yang mengaharamkan alat-alat hiburan (muzik).
Dalam kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata al Syirazi:
ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار
Ertinya: Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwa al Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..
( Surah Luqman: 6 )

Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwa al Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.

Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:
ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج
ومزمار عراقي واستماعها.
Ertinya: Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.


Demikianlah pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai hukum menggunakan muzik dan mendengarnya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj (8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam mazhab syafi’e.

Ulama-ulama dalam mazhab syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitabnya Ighathah al Luhfan min Masyahid al Syaithan (1/255-256): Ertinya: Mazhab Abu Hanifah dalam perkara ini adalah mazhab yang paling keras dan kata-katanya mengenai perkara ini adalah kata-kata yang paling tegas. Para sahabat Abu Hanifah dengan tegas mengatakan haram mendengar semua jenis alat hiburan seperti seruling, kompang bahkan termasuk memukul-mukulkan tongkat kecil (cota) sekalipun. Mereka dengan tegas menyatakan bahawa ianya adalah maksiat, boleh membawa kepada fasiq dan kesaksian ditolak.

Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al Hambali dalam al Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Hiburan itu tiga keadaan:

a) Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

b) Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Berkata al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.
Syaikh Ahmad al-Azhari beliau mengatakan:إن من يرون إباحة الغناء مطلقاً من السابقين أمثال ابن حزمٍ أو من المعاصرين مثل الدكتور يوسف القرضاوي قد استدلوا بآثار موقوفة عن جمع من الصحابة (في ز...عمهم) أباحوا الغناء. وهذا تناقض غريب أن يبحث وينقب المحللون للغناء خلف البخاري ثم يطعنوا في حديثه ويروا اضطرابه سنداً ومتناً ولا نجد مثل هذا الجهد في تخريج الأثار التي استدلوا بها عن جمع من الصحابة أنهم أباحوا الغناء. والأحرى أن يفعلوا هذا مع من هو دون البخاري في العلم! وأناشد الدكتور يوسف القرضاوي أن يخرج إسناد تلك المرويات المذكورة في فتواه مع بيان صحتها. واذكر بما أخرجه مسلم عن عبد الله بن المبارك أنه قال: إن الإسناد من الدين، ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء

“Sesungguhnya orang-orang yang membolehkan muzik secara mutlak daripada kalangan ulama terdahulu seperti Ibnu Hazm atau daripada kalangan orang-orang masa kini seperti al-Qaradhawi, mereka berdalil dengan beberapa atsar mauquf daripada sebilangan sahabat (berdasarkan dakwaan mereka) bagi membolehkan muzik. Ini merupakan hasil sikap kontroversi yang sangat aneh.Golongan menghalalkan muzik mencari-cari jalan untuk menolak hadis al-Bukhari, menghukumi sanad dan matannya sebagai mudhthorib, kemudian mereka tidak pula melakukan perkara yang sama ketika mentakhrij (menilai status kesahihan) atsar-atsar yang mereka jadikan dalil dari sebilangan sahabat bahawa mereka membenarkan muzik.
Sepatutnya mereka lakukan perkara yang sama terhadap perawi-perawi yang kapasiti ilmunya di bawah al-Bukhari.

Aku meminta supaya Dr. Yusuf al-Qaradhawi mentakhrij sekurang-kurangnya satu sanad sahaja dari riwayat-riwayat tersebut dalam fatwanya dengan disertakan penjelasan kesahihannya! Aku memberi peringatan kepada beliau dengan riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim daripada ‘Abdullah Ibnu Mubarak bahawa beliau menyatakan, “Sanad itu termasuk sebahagian dari agama, sekiranya tiada sanad, nescaya setiap orang bebas untuk berkata apa sahaja.” [Ahmad B. Hussein al-Azhari, an-Nuur al-Kasaaf fii Bayaan Hukum al-Ghinaa’, m/s. 34]
 Manakala Syaikh Dr. Soleh Fauzan B. al-Fauzan hafizahullah ketika membuat semakkan ke atas kitab al-Qaradhawi, al-Halal wal Haram (dalam bab berkaitan) di mana al-Qaradhawi mengemukakan atsar-atsar yg ganjil sebagai dalil halalnya muzik/nyanyian, beliau pun mengatakan,
هذا دعوى منه ونحن نطالبه بإبراز الأسانيد الصحيحة إلى هؤلاء الصحابة والتابعين بإثبات ما نسبه إليهم

“Ini adalah dakwaan daripada al-Qaradhawi dan kami memintanya supaya menyebutkan sanad-sanad yang sahih sampai kepada para sahabat dan tabi’in tersebut, dengan menetapkan kesahihan terhadap apa yang beliau sandarkan kepada mereka.” (Soleh B. ‘Abdullah al-Fauzan, al-I’lam bi Naqdi Kitab al-Halal wal Haram )
Kesimpulannya Pendapat  membenarkan muzik adalah lemah namun dalam suasana masyarakat hari ini ia boleh dijadikan  satu  rukysah ( kemudahan ) untuk kita berdakwah terutama kepada anak muda masakini yang tidak boleh hidup tanpa entertainment.Realitinya,hari ini kita berada diakhir zaman dimana banyak sumber yang mengelapkan hati terutama dari persekitaran dan makanan, maka bacaan Al Quran sudah tidak lagi menjadi hiburan untuk hati ummat Islam. Namun kesilapan mengunakan rukhsah ini akan menyebabkan orang yang sudah meninggalkan muzik akan kembali lagho.Bagi orang yang warak maka meninggallkan muzik adalah lebih utama kerana majoriti ulamak terdahulu mengharamkannya.Mukmin yg bijak sentiasa kreatif mengunakan ruhysah tanpa melemahkan kekuatan diri.Dan kita perlu jelas bahawa matlamat kehidupan ini adalah mencari redho Allah.