Friday, December 17, 2010

Hijrah Pada Amal dan Iltizam Bukannya Sekadar Slogan Dan Perayaan

Alhamdulillah kita baru sahaja menyambut tahun baru Qomariyah dan akan menempuh tahun baru Syamsyiah dua minggu lagi.Bermulanya tahun baru ramai dikalangan kita meletakkan pelbagai azam atau target yang hendak dicapai .Mungkin ada segelintir dikalangan kita tertanya kalendar mana nak diguna pakai untuk meletakkan azam dan komitmen.jawapannya mudah mana-mana hari kita boleh meletakkan target dan azam namun yang paling penting ialah komitmen kita untuk berhijrah kearah yang lebih baik Dan Mukmin yang baik senantiasa merancang perubahan bila pintu hatinya diketuk oleh hidayah untuk melakukan perubahan.Namun begitu dalam urus tadbir diri dan organisasi yang baik meletakkan sasaran tahunan pada awal tahun adalah langkah bijak apatah lagi dimulakan pada tahun hijriah memandangkan ia diasaskan para sahabat Nabi r.a.

Imam Ibn Kathir musanif kitab al-Bidayah wa al-Nihayah menukilkan Dari Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252 ).

Berkenaan dengan sebutan Maal Hijrah semperna tahun baru hijri adalah kurang tepat dan mengelirukan apatah lagi Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke 14 selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Saidina Abu Bakar r.a ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada 1Rabiul Awal baginda & Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada, 8 Rabiul Awal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di sana selama 4 hari dan membina Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib & menukarkan namanya ke Madinah.

Dewasa ini Sambutan Maal Hijrah seolah tiada fokus dan kekadang boleh mendatangkan fitnah yang besar kepada Islam Itu sendiri.Contohnya dalam pemilihan tokoh Maal Hijrah tahun ini dimana Individu itu yang tidak berhijab ditampilkan .Disamping itu apa yang diketengahkan kepada masyarakat seolah menyambut ulang tahun peristiwa hijrah .Disamping slogan yang sekadar slogan.

Mari kita renungkan kata-kata, Saidina Umar Al-Khattab (r.a)

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili (rah), para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108.

Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah.

Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita beriltizam dan meltakkan target tertentu dalam berhijrah menjadi mukmin takut kepada Allah dan Efektif kepada Ummah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah.